MELAKA: Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat terhadap balai polis dan kereta milik bekas teman wanitanya, minggu lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin memutuskan demikian selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Hidayat Burhan, 25, sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan khianat dengan membaling tukul besi hingga menyebabkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling dalam daerah Melaka Tengah pecah mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.10 malam di hadapan balai polis berkenaan pada 7 Januari 2025.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin hadapan kereta milik seorang individu di sebuah rumah bernombor di Batu 7, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10.30 malam pada 8 Januari 2025.
Difahamkan lelaki itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap bekas teman wanitanya berkahwin dengan lelaki lain.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN