Penerokaan tanah berleluasa jejas suhu Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Penerokaan tanah berleluasa jejas suhu Cameron Highlands

KEADAAN penerokaan tanah kawasan bukit yang dikesan di Cameron Highlands, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Selain penerokaan tanah untuk pertanian, pembukaan tanah untuk pembinaan bangunan sama ada bangunan komersial, hotel dan perumahan mewah di Cameron Highlands boleh menjejaskan suhu sejuk tanah tinggi itu.

Perkara itu disuarakan Pre­siden Persa­tuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin yang menyifatkan pembangunan seumpama itu di sini semakin tidak terkawal.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini tanah tinggi itu me­ngalami perubahan daripada segi fizikal bangunan yang semakin bertambah, seolah-olah tidak terkawal menyebabkan banyak kawasan hutan yang dibuka.

Katanya, malah beliau percaya mungkin tanah tinggi itu kini sudah terlalu banyak hotel dan rumah mewah sedangkan rakyat memerlukan rumah kos rendah.

Beliau berpendapat pemba­ngunan di Cameron Highlands seperti sudah berlebihan, menyebabkan banyak tanah di­teroka sehingga memberi impak terhadap suhu dingin di sini.

“Kerajaan perlu bertindak tegas untuk menghentikan pembangunan yang Reach dapati tidak terkawal di Cameron Highlands.

“Pembangunan di sini semakin membimbangkan. Kami mendesak kerajaan negeri membekukan semua permohonan tanah baharu untuk pembangunan.

“Tindakan serius juga perlu diambil dalam menangani isu alam sekitar demi memastikan keindahan dan kesejukan iklim kawasan ini kekal terpelihara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai projek-projek seperti perumahan mewah dan bangunan tinggi yang masih terus diluluskan.

Katanya, keadaan ini boleh menjejaskan ekosistem sensitif Cameron Highlands.

“Untuk itu Reach menggesa audit menyeluruh terhadap semua kelulusan pembangunan untuk memastikan ia selaras dengan garis panduan dan undang-undang.

“Juga moratorium pemba­ngunan dengan menghentikan kelulusan pembangunan baharu sehingga kajian impak alam sekitar yang lebih ketat dapat dijalankan.

“Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diper­tingkatkan terhadap pemba­ngunan sedia ada untuk memastikan pematuhan kepada syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, Cameron Highlands adalah destinasi ikonik yang bergantung kepada keindahan alam dan iklimnya yang nyaman.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya