GAZA: Penduduk Palestin di utara Gaza mula mendirikan khemah untuk menempatkan ahli keluarga yang kehilangan tempat tinggal, dua hari sebelum dijangka kembali ke kawasan kediaman mereka seperti ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Di kawasan terbuka yang dikelilingi bangunan musnah, sekumpulan lelaki memasang deretan khemah putih bagi menyambut keluarga yang dijangka pulang pada Sabtu.
Ketika itu, Hamas dijadualkan menyerahkan kumpulan kedua tebusan sebagai pertukaran untuk puluhan tahanan Palestin yang dipenjara oleh Israel.
Sebahagian besar daripada ratusan ribu rakyat Palestin yang akan pulang ke utara Gaza dijangka menemui kediaman mereka dalam keadaan musnah selepas serangan ketenteraan Israel selama 15 bulan yang telah menghancurkan wilayah itu serta meragut lebih 47,000 nyawa penduduk.
Pada Oktober lalu, tentera Israel kembali ke kawasan utara dalam operasi besar-besaran terhadap Hamas yang tertumpu di kem pelarian Jabalia berhampiran Gaza City serta bandar Beit Hanoun dan Beit Lahiya, mengosongkan kawasan tersebut dan merobohkan kebanyakan bangunannya.
“Adakah ini khemah yang kami impikan? Khemah ini untuk 10 orang. Ini untuk anak-anak saya yang akan pulang dari selatan. Benarkah ini ruang yang cukup?” soal Wael Jundiya, sambil menyiapkan khemah untuk anak-anaknya yang dijangka kembali dari kawasan Mawasi di selatan Gaza.
“Pada Sabtu, orang ramai akan datang dari selatan dan memenuhi Gaza. Di mana mereka akan tinggal? Kem ini hanya boleh menampung 100 ke 200 orang. Namun, akan ada 1.5 juta orang datang dari selatan,” katanya kepada Reuters.
Hamas dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan kepulangan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akan bermula selepas pertukaran tebusan selesai pada Sabtu, dan selepas tentera Israel berundur dari jalan pesisir pantai ke utara.
Namun, kegusaran terhadap kestabilan gencatan senjata ini semakin meningkat dengan satu insiden melibatkan tembakan meriam kereta kebal Israel telah meragut nyawa dua penduduk Gaza di Rafah, selatan wilayah tersebut, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, sekurang-kurangnya empat tebusan dijangka diserahkan kepada Israel pada Sabtu.
Bagaimanapun, penduduk Gaza terus bimbang sama ada gencatan senjata ini benar-benar dapat bertahan dalam situasi konflik yang belum reda sepenuhnya.-AGENSI