Pemilihan FAM jadi huru-hara?

Pemilihan FAM jadi huru-hara?

KONGRES FAM 2025 akan berlangsung pada 15 Februari depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari depan terus dilanda kontroversi apabila difahamkan ada Persatuan Bolasepak (FA) menghantar borang pencalonan kosong.

Lebih memeranjatkan, kertas pencalonan kosong yang ada cop pengesahan rasmi daripada FA itu diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM biarpun terdapat permohonan untuk menarik borang berkenaan.

Sebelum ini, timbul isu borang pencalonan tipu dengan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) tampil membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM.

Kali ini, situasi lebih teruk berlaku dan difahamkan ada FA mendapatkan khidmat peguam luar negara yang pernah bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengheret FAM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sumber yang boleh dipercayai mendedahkan bahawa satu afidavit bakal dibawa ke CAS beserta bahan bukti dokumen 10 muka surat menunjukkan wujud kesalahan yang dilakukan oleh setiausaha sebuah FA ketika menyerahkan borang pencalonan.

“Setiausaha menandatangani bagi pihak FA tetapi isunya di sini, pengesahan itu dibuat tanpa pengetahuan Presiden yang menjadi ketua utama sesebuah FA.

“Perkara ini yang menjadi pertikaian dan keputusan FAM untuk tidak memberi borang baharu di mana menganggap borang pencalonan tipu itu bersifat sempurna dan mengikut statut FAM akan dicabar, beserta dengan bukti-bukti yang sudah dilampirkan,” kata sumber itu.

Borang pencalonan bagi kongres pemilihan FAM itu ditutup pada pukul 5.30 petang semalam dengan difahamkan Datuk Mohd. Joehari Mohd Ayob dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, sekali gus muncul individu pertama dari Sabah mengisi kerusi No.1 FAM itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya