KUALA TERENGGANU: Pelayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya melalui pasukan pelayarannya menyertai Kejohanan Duyong Marina Resort Monsoon Challenge (DMRMC) 2024 di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
Kejohanan yang berlangsung meriah anjuran Persatuan Pelayaran Terengganu (TSA) dengan kerjasama Duyong Marina Resort, Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) itu berlangsung dari 26 Disember dan berakhir Ahad lalu.
Pasukan pelayaran polis itu menghantar dua wakil melalui dua kategori iaitu bagi acara perseorangan (ILCA 7) dan berpasangan (International 420).
Bagi kategori perseorangan, Pelayar PDRM mempertaruhkan Mohd. Romzi Muhamad yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan dan pernah memenangi dua pingat emas di Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur dan Korat (2007).
Sementara itu, seorang lagi wakil PDRM yang turun dalam acara berpasangan (International 420), Tg Mohd Amirul Asraf Tg Othman bersama Ikrami Hakimin Marham turut cemerlang apabila muncul naib juara dalam acara berkenaan.
Istimewanya, Mohd Romzi menjadi juara keseluruhan bagi kategori yang ditandinginya iaitu (ILCA 7) manakala Tg Amirul berjaya menjadi naib johan (International 420).
“Kejohanan kali ini berlangsung dengan cemerlang dan prestasi pasukan pelayaran PDRM berada di tahap yang terbaik untuk kejohanan kali ini,” kata pengurus pasukan pelayaran PDRM, Dzulkanaen Hardy Abdul Rahman, Ahad lalu. – UTUSAN