KABUL: Seorang pekerja lombong warga China maut dalam serangan bersenjata di wilayah utara Takhar, Afghanistan, semalam.
Kejadian itu berlaku ketika kerajaan Taliban sedang berusaha menonjolkan imej keselamatan untuk menarik pelaburan dari China.
Menurut jurucakap polis wilayah, Mohammad Akbar Haqqani, mangsa ditembak oleh individu bersenjata yang tidak dikenali ketika dalam perjalanan di wilayah yang bersempadan dengan Tajikistan itu.
“Lelaki berkenaan dipercayai bergerak tanpa memaklumkan kepada pihak keselamatan, yang biasanya akan mengiringi warganegara China ketika lawatan mereka di negara ini,” kata Haqqani.
Bagaimanapun, penterjemah yang menemani mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Abdul Mateen Qani, mengesahkan mangsa merupakan seorang pemilik perniagaan yang mempunyai kontrak perlombongan di negara itu.
Kedutaan China di Kabul tidak memberikan sebarang komen mengenai insiden berkenaan, manakala tiada kumpulan pemberontak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Kerajaan pimpinan Taliban kini giat mempromosikan sumber asli Afghanistan yang kaya dan tidak diterokai selama dua dekad peperangan sebagai peluang ekonomi yang lumayan, sekali gus menarik minat pelabur asing.
Dalam satu majlis bagi meraikan 70 tahun hubungan diplomatik antara Afghanistan dan China, Timbalan Menteri Luar Afghanistan, Sher Mohammad Abbas Stanekzai, memberikan jaminan negara itu kini berada dalam keadaan aman.
“Saya ingin memberi keyakinan kepada rakan-rakan dari China, Afghanistan kini aman dan selamat,” katanya.
Beliau turut mengajak para pelabur dan ahli perniagaan China untuk melabur di Afghanistan tanpa rasa bimbang.
Walaupun keselamatan negara itu dilaporkan semakin baik sejak penarikan keluar tentera asing pada 2021, kumpulan Daesh di rantau itu masih aktif melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan, pegawai kerajaan Taliban dan warga asing.
Pada 2022, sekurang-kurangnya lima warga China cedera dalam serangan bersenjata di sebuah hotel di Kabul yang sering dikunjungi ahli perniagaan dari China, serangan yang kemudiannya didakwa oleh kumpulan Daesh. -AGENSI