PETALING JAYA: Dua beregu badminton Malaysia mara ke final selepas Pearly Tan-M. Thinaah dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan lawan masing-masing pada separuh akhir Indonesia Masters 2025 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pasangan No. 7 dunia, Pearly-Thinaah menyingkirkan beregu pecah ganding, Lee Yeon Woo-Lee Yu Lim dari Korea Selatan 21-19, 21-16 dalam masa 52 minit.
Pada final, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan satu lagi gandingan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong yang menewaskan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China 21-17, 22-20 dalam satu lagi separuh akhir.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Thinaah berkata, kejayaan mara ke final amat penting bagi mengembali keyakinan mereka ekoran prestasi kurang konsisten.
“Penting untuk kami mendapatkan momentum kerana ia mampu membantu menaikkan kembali keyakinan kami,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Hye Jeong-Hee Yong dalam tempoh dua minggu berturut-turut, kata anak jati Klang, Selangor itu, berdepan beregu Korea Selatan tersebut tidak mudah dan persediaan rapi perlu dibuat bagi memperkemaskan pertahanan serta serangan mereka.
Pearly pula ketika ditanya mengenai persembahan di separuh akhir berkata, kadang-kala mereka hilang fokus yang menjadi punca kepada lawan berjaya bangkit dan mengejar dari belakang.
“Kami perlu lebih bersabar dan pada perlawanan akhir, esok, sudah tentu kami mahukan gelaran, tetapi, saya mahu kami menikmati permainan sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Pearly-Thinaah berpeluang untuk menebus kehampaan mereka pada Terbuka India, minggu lalu, selepas tunduk kepada Hye Jeong-Hee Yong pada separuh akhir.
Kali terakhir Pearly-Thinaah mara ke final ialah pada Terbuka Arctic, Oktober lepas dan Terbuka Hong Kong, September lalu merupakan kejohanan terakhir beregu wanita No. 1 Malaysia itu merangkul gelaran.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking ke-13 dunia mengejutkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-18, 21-15 dalam masa 31 minit pada separuh akhir.
Ini merupakan kemenangan kedua Wei Chong-Kai Wun ke atas beregu senior yang berada di ranking No. 5 dunia itu, selepas kali pertama berbuat demikian pada Terbuka Arctic, dua tahun lalu.
Wei Chong-Kai Wun yang muncul beregu lelaki Malaysia pertama mara ke final Indonesia Masters akan berdepan pasangan tuan rumah yang menghuni ranking No. 4 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang mengalahkan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-14, 24-22 dalam masa 48 minit.
“Kami tidak terlalu memikirkan sama ada berjaya ke final atau tidak, fokus hanya kepada permainan kami.
“Aaron dan Wooi Yik memiliki corak permainan yang laju, jadi, kami berusaha untuk mengejar kepantasan mereka,” kata Kai Wun ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat. – UTUSAN