BANGKOK: Kementerian Dalam Negeri Thailand bersedia untuk menguatkuasakan undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis didaftarkan di negara itu, menjelang akhir bulan ini.
Menurut jurucakap kementerian itu, Traisulee Taisaranakul, Undang-Undang Kesaksamaan Perkahwinan akan mula berkuatkuasa dan Jabatan Pentadbiran Wilayah (DoPA) sudah menetapkan garis panduan baharu untuk memudahkan proses pendaftaran.
Jabatan itu juga sudah menaik taraf sistem komputer dan borang bagi membolehkan pendaftaran perkahwinan sejenis dengan segera setelah segala usaha penyelarasan dimuktamadkan.
“Sistem percubaan sudah dijalankan bulan lepas dan semuanya sudah sedia.
“Apabila undang-undang kesaksamaan perkahwinan berkuat kuasa pada 23 Januari ini, pasangan sejenis boleh mendaftarkan perkahwinan mereka di mana-mana pejabat daerah di seluruh negara,” katanya.
Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn mengesahkan rang undang-undang itu, yang diterbitkan dalam Warta Diraja pada September tahun lalu, sekali gus meletakkannya sebagai negara atau wilayah ketiga di Asia selepas Taiwan dan Nepal yang mengiktiraf perkahwinan sejenis.
Undang-undang itu memberikan pasangan sejenis hak yang sama seperti pasangan heteroseksual, termasuk keupayaan mengambil anak angkat, mengurus dan mewarisi aset pasangan mereka, hak perceraian, akses kepada kebajikan negara jika pasangan mereka adalah penjawat awam serta potongan cukai.
Kementerian Kehakiman juga sedang menyemak rang undang-undang tambahan untuk memastikan pasangan sejenis menerima hak yang sama seperti pasangan heteroseksual dalam pertubuhan keluarga, termasuk rang undang-undang ibu tumpang, kewarganegaraan dan pengiktirafan jantina.
Pendaftaran perkahwinan terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas dengan mereka yang berumur di bawah 20 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.
Undang-undang itu menggunakan terminologi neutral jantina, merujuk mereka sebagai dua individu dan menggantikan istilah suami isteri dengan pasangan.
Bangkok Pride, bersama Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) dilaporkan turut merancang untuk menganjurkan acara perkahwinan sejenis besar-besaran pada hari undang-undang itu berkuat kuasa.-AGENSI