WASHINGTON: Syarikat pembangun kecerdasan buatan (AI), OpenAI mendakwa pesaingnya, termasuk dari China, menggunakan hasil kerja pihaknya untuk mempercepatkan pembangunan teknologi AI sendiri.
Kebimbangan itu timbul susulan kemunculan aplikasi baharu dari China, DeepSeek, yang dikatakan mampu menyaingi prestasi ChatGPT pada kos jauh lebih rendah, sekali gus mencabar dominasi syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) dalam bidang AI.
Menurut laporan Bloomberg, Microsoft kini sedang menyiasat sama ada data milik OpenAI telah digunakan tanpa kebenaran.
Ketua AI dan kripto White House, David Sacks menyuarakan kebimbangan DeepSeek mungkin menggunakan model yang dibangunkan oleh OpenAI untuk meningkatkan keupayaannya, melalui proses yang dikenali sebagai knowledge distillation (penyulingan pengetahuan).
“Terdapat bukti kukuh DeepSeek telah menyuling pengetahuan daripada model OpenAI,” kata Sacks dalam satu temu bual bersama Fox News.
Tambah beliau, syarikat-syarikat AI utama AS akan mengambil langkah untuk menghalang teknologi mereka daripada ditiru, yang dijangka melambatkan pembangunan model-model pesaing.
OpenAI dalam kenyataan turut mengesahkan syarikat-syarikat dari China dan negara lain sentiasa berusaha untuk menyuling model syarikat AI utama AS.
“Adalah sangat penting bagi kami untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan AS bagi melindungi model AI paling berkeupayaan,” katanya.
Kerajaan AS sebelum ini telah memperkenalkan peraturan ketat bagi menghalang China daripada memperoleh cip canggih dan memastikan pelaburan dalam teknologi AI kekal berpihak kepada syarikat tempatan.
Dalam pada itu, DeepSeek mendakwa syarikatnya menjadi sasaran serangan siber.
Isnin lalu, syarikat itu mengumumkan pendaftaran pengguna baharu akan dihadkan sementara waktu akibat serangan besar-besaran yang berniat jahat.-AGENSI