WASHINGTON: Bilionair terkemuka, Elon Musk meragui projek kecerdasan buatan (AI) bernilai AS$500 bilion (RM 2 Trilion) yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan mendakwa dana pelaburan besar itu sebenarnya tidak wujud.
Kenyataan itu menandakan perbezaan pendapat yang jarang berlaku antara Musk, individu terkaya dunia, dengan Trump, walaupun beliau memainkan peranan penting dalam pentadbiran baharu selepas menyumbang AS$270 juta (RM 1 bilion) kepada kempen pilihan raya presiden tersebut.
Pada hari pertamanya di White House, Trump mengumumkan pelaburan besar untuk membina infrastruktur AI di bawah projek yang dikenali sebagai Stargate, diketuai oleh gergasi Jepun SoftBank dan OpenAI, syarikat pembangun ChatGPT.
Trump berkata projek itu akan melabur sekurang-kurangnya AS$500 bilion dalam infrastruktur AI di AS.
Namun, dalam satu hantaran di platform media sosialnya, X, Musk mendakwa pelabur utama dalam projek itu sebenarnya tidak mempunyai wang yang mencukupi.
“SoftBank hanya mempunyai kurang AS$10 bilion (RM44 bilion) yang dijamin. Saya mendapat maklumat ini daripada sumber yang boleh dipercayai,” tulis Musk.
Serangan Musk itu dipercayai ditujukan kepada OpenAI, syarikat AI terkemuka yang turut diasaskannya sebelum meninggalkan syarikat tersebut pada 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, yang turut hadir di White House pada hari pengumuman itu, membalas kritikan Musk sambil menyatakan projek tersebut membawa manfaat besar kepada negara.
“Salah, seperti yang anda sendiri tahu. Mahu melawat tapak pertama projek ini yang sedang berjalan?” katanya.
OpenAI, salah satu syarikat pemula niaga paling bernilai di dunia, menghadapi cabaran kos operasi tinggi bagi membangunkan teknologinya.
Menurut Wall Street Journal, Oracle, salah satu penyumbang projek ini, memiliki kira-kira AS$11 bilion (RM48 bilion) dalam tunai dan sekuriti, manakala SoftBank pula memiliki sekitar A$30 bilion tunai (RM 133 bilion).
Projek ini dimulakan dengan pembinaan pusat data di Texas yang kini sedang berlangsung, selain pelaburan A$20 bilion oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusat data AS yang diumumkan awal bulan ini. -AGENSI