PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac enggan menjadikan keletihan sebagai penghalang kepada pasukannya untuk memburu tiga mata menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super hari ini.
KL City FC tiba di ibu negara dari Singapura petang kelmarin yang sebelum itu tewas 2-0 kepada Lions City Sailors FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/2025, Khamis lalu.
Pengendali dari Croatia itu mengakui dia tidak mempunyai yang banyak masa untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Semestinya kami tidak mempunyai banyak masa untuk buat persiapan dan kami hanya sempat melakukan latihan satu hari sebelum perlawanan.
“Sebahagian pemain masih berada dalam keletihan daripada aksi sebelum ini namun saya fikir saya tidak mahu menjadikan masalah ini sebagai alasan tetapi hadapinya dengan tenang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata dia tidak dapat menurunkan pertahanan negara, Declan Lambert yang berdepan penggantungan perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.
“Brendan Gan masih mengalami kecederaan jangka masa panjang manakala status Jovan Motika masih 50-50 sebab dia baru menyertai pasukan kerana pulang ke negara asal selepas ada urusan peribadi,” katanya.
KL City FC yang sebelum ini menewaskan Selangor FC 1-0 di laman sendiri dalam aksi liga pada 14 Julai lalu namun Kuljanac percaya lawannya itu sudah berbeza di bawah kendalian pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi dari Jepun.
“Mereka pasukan yang baharu dengan jurulatih baharu serta beberapa pemain baharu dan sudah tentu menghadapi mereka kali ini berbeza berbanding sebelumnya namun kami tetap mahukan kemenangan,” katanya. – UTUSAN