WASHINGTON: Syarikat teknologi gergasi, Meta bersetuju membayar pampasan berjumlah AS$25 juta (RM109.7 juta) bagi menyelesaikan saman yang difailkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas akaunnya digantung susulan insiden serangan di bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.
Menurut sumber yang rapat dengan perjanjian tersebut, sebanyak AS$22 juta (RM96.60 juta) akan disalurkan kepada badan bukan keuntungan yang bakal mengendalikan perpustakaan Trump, manakala baki selebihnya akan digunakan untuk yuran guaman serta litigasi lain.
Persetujuan itu merupakan sebahagian daripada langkah Meta dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg untuk merapatkan hubungan dengan pentadbiran baharu Trump selepas jutawan hartanah itu kembali ke Rumah Putih.
Difahamkan, perjanjian tersebut tercetus selepas Zuckerberg bertemu Trump di kelab persendiriannya di Florida pada November lalu, sebagai sebahagian daripada usaha para pemimpin teknologi, perniagaan dan kerajaan untuk memulihkan hubungan dengan presiden baharu itu.
Trump dikatakan membangkitkan isu saman tersebut dalam pertemuan itu dan mencadangkan agar penyelesaian dapat dicapai, sekali gus mencetuskan rundingan selama dua bulan antara kedua-dua pihak.
Meta juga dilaporkan menyumbang AS$1 juta (RM4.39 juta) kepada jawatankuasa perasmian Trump dan Zuckerberg turut diberikan tempat duduk utama semasa upacara angkat sumpah Trump minggu lalu di Rotunda Capitol, bersama beberapa tokoh terkemuka seperti Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai; pengasas Amazon, Jeff Bezos dan pemilik platform X, Elon Musk.
Semasa pelantikan Trump sebagai Presiden, Meta turut mengumumkan keputusan untuk menghentikan usaha semakan fakta di platformnya, selaras dengan tuntutan lama Trump dan sekutunya yang mendakwa amalan itu berat sebelah.
Trump memfailkan saman tersebut beberapa bulan selepas meninggalkan pejabatnya, dengan mendakwa tindakan syarikat media sosial menggantung akaunnya sebagai satu bentuk ‘penapisan yang tidak sah dan memalukan terhadap rakyat Amerika.’
Bagaimanapun, menurut undang-undang AS, syarikat seperti Twitter, Facebook dan Google adalah entiti persendirian yang berhak mengenakan syarat perkhidmatan kepada pengguna dan seksyen 230 Akta Kesopanan Komunikasi 1996 juga memberikan perlindungan kepada platform digital untuk menyederhanakan kandungan berdasarkan garis panduan mereka, asalkan dilakukan secara berniat baik.
Namun, Trump dan beberapa ahli politik lain berpendapat perlindungan tersebut telah disalahgunakan oleh syarikat gergasi teknologi dan perlu dihapuskan atau dikurangkan. -AGENSI