KAHERAH: Mesir menolak perpindahan secara paksa rakyat Palestin, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan rancangan untuk ‘membersihkan’ Semenanjung Gaza dan memindahkan penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Kementerian Luar Negeri Mesir dalam kenyataan menyatakan sokongan berterusan terhadap ‘keteguhan rakyat Palestin di tanah mereka’.
Pihaknya menolak sebarang pelanggaran terhadap hak-hak tersebut, sama ada melalui penempatan atau pengilhakan tanah, atau dengan mengosongkan tanah tersebut daripada penduduknya melalui perpindahan paksa, pemindahan yang digalakkan, atau mencabut rakyat Palestin dari tanah mereka, sama ada sementara atau jangka panjang.
Selepas 15 bulan berperang, Trump berkata, Gaza telah menjadi ‘tapak perobohan’ dan beliau mahu ‘Mesir menerima penduduk, dan Jordan menerima penduduk.’
Memindahkan penduduk Gaza boleh dilakukan secara ‘sementara atau untuk jangka panjang’, katanya.
Sejak permulaan perang Israel-Hamas pada Oktober 2023, kedua-dua negara memberi amaran mengenai rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir yang berdekatan dan dari Tebing Barat ke Jordan.
Liga Arab menyokong kenyataan Kaherah, menyatakan ‘pemindahan paksa dan pengusiran orang dari tanah mereka hanya boleh disebut sebagai pembersihan etnik’.
“Percubaan untuk mencabut rakyat Palestin dari tanah mereka, sama ada melalui perpindahan, pengilhakan, atau pengembangan penempatan, telah terbukti gagal pada masa lalu,” kata blok serantau itu dalam kenyataan.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berulang kali memberi amaran perpindahan itu bertujuan untuk ‘menghapuskan sebab bagi pembentukan negara Palestin.’. -AFP