KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, pemindahan paksa penduduk Gaza adalah satu ketidakadilan dan menegaskan negaranya tidak boleh mengambil bahagian dalam usaha sedemikian.
Beliau berkata demikian berikutan rancangan dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari wilayah itu ke Mesir dan Jordan.
“Pendirian Mesir mengenai perjuangan Palestin sejak dahulu lagi tidak boleh dikompromi,” kata Abdel Fattah semasa sidang akhbar di Kaherah bersama Presiden Kenya, William Ruto.
Beliau turut menegaskan, Mesir hanya menyokong penubuhan negara Palestin dengan memelihara keupayaan, khususnya rakyat dan wilayahnya.
Beliau menambah, Mesir bertekad untuk bekerjasama dengan Trump bagi mencapai keamanan yang diinginkan berdasarkan penyelesaian dua negara.
“Kami percaya bahawa Presiden Trump mampu memenuhi matlamat yang telah lama ditunggu-tunggu ini untuk mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat,” katanya.
Selepas gencatan senjata Israel-Hamas dikuatkuasakan pada 19 Januari lalu, Trump menggembar-gemburkan rancangan untuk ‘membersihkan’ Semenanjung Gaza.
Malah, beliau mengulangi idea itu pada Isnin ketika menyeru rakyat Palestin berpindah ke lokasi yang lebih selamat seperti Mesir atau Jordan.
Beliau berulang kali menuntut pujian untuk usahanya memeterai perjanjian gencatan senjata selepas berbulan-bulan rundingan tidak membuahkan hasil.