PETALING JAYA: Ketua jurulatih Maybank, Iman Gobinathan menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila berjaya menewaskan Matador 5-3 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Maybank yang sebelum ini tewas 3-1 kepada UiTM HA-KPT pada Rabu lalu dilihat memperbaiki mutu permainan mereka apabila berjaya memperoleh tiga gol daripada pukulan sudut penalti.
“Lawan dengan UiTM kita tak boleh jaringkan gol. Semasa berbincang dengan pasukan, ada beritahu kita banyak menyerang dan jika kita tidak menjaringkan gol lawan akan melakukannya.
“Bagusnya hari ini pemain memperbaiki jaringan pasukan. Pasukan menjadi setiap kali mereka mengambil pukulan sudut penalti,” katanya kepada pemberita.
Dalam aksi tersebut, dua gol Maybank dijaringkan oleh Razie Abd Rahim pada minit ke-20 dan ke-58 manakala Izham Azhar, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini dan Najmi Farizal Jazlan masing-masing menjaringkan satu gol.
Sufyan Khan menjaringkan dua gol untuk Matador masing-masing pada minit ke-24 dan ke-41 dan satu lagi jaringan disumbat oleh Abdul Waheed Ashraf Rana. – UTUSAN