KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun menyepi, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) kembali menganjurkan Malam Anugerah MAM 2024 di Hotel M & Resort, dekat sini, pada 25 Februari ini.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, anugerah itu dijangka menarik 750 peserta yang terdiri dalam kalangan pelumba, organisasi sukan bermotor, media dan semua pihak yang terlibat dalam sukan tersebut di dalam negara dan luar negara.
“MAM sebagai badan induk sukan bermotor sejak 2019 menganjurkan anugerah ini dengan hasrat untuk meraikan kejayaan semua pelumba.
“Selepas wabak Covid-19 melanda dunia, penyertaan sukan bermotor secara perlahan-lahan telah berjalan dengan lancar semula dan MAM bertanggungjawab untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Berhasrat untuk menjadikan majlis anugerah itu sebagai acara tahunan, beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menarik penaja yang berminat menceburi dalam sukan bermotor.
Katanya, Malam Anugerah MAM 2024 yang merupakan edisi ke-4 itu, buat kali pertama dianjurkan tanpa kerjasama Litar Antarabangsa Sepang Petronas.
Menampilkan sebanyak 22 kategori anugerah, termasuk 11 anugerah persembahan terbaik sebagai menghargai pencapaian peserta sepanjang 2024.
Antara kategori anugerah tersebut ialah Anugerah Penghormatan Wanita Dalam Sukan Bermotor, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Hall of Fame, Anugerah Ikon Sukan Bermotor, Laporan Berita Terbaik, Gambar Terbaik dan Wartawan Sukan Bermotor Terbaik.
Dalam perkembangan berkaitan, sewaktu diminta mengulas mengenai pembabitan kerajaan dalam sukan bermotor pula, Mokhzani berkata, MAM sememangnya sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam menjayakan program-program di peringkat akar umbi.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai bakat muda dan kita tidak akan jumpa jaguh kalau kita tidak membangunkan program akar umbi ini.
“Saya mahu melihat Malaysia mampu menjadi pesaing yang serius dalam sukan bermotor,” katanya yang turut mengesahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijangka hadir pada majlis anugerah tersebut.
Bercakap pula tentang kebajikan pelumba-pelumba veteran yang memerlukan sokongan kewangan, beliau berkata, MAM tidak mempunyai dana khas bagi menyediakan bantuan secara konsisten, tetapi, badan induk itu memiliki jawatankuasa untuk melaksanakan proses berkenaan. – UTUSAN