Mahkamah halang Trump sekat hak kewarganegaraan kelahiran

Mahkamah halang usaha Trump sekat hak kewarganegaraan kelahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Seorang hakim Persekutuan mengeluarkan arahan sementara untuk menghalang usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyekat hak kewarganegaraan kelahiran di negara itu.

Keputusan tersebut menangguhkan penguatkuasaan perintah eksekutif Trump selama 14 hari, yang dianggap antara arahan paling kontroversi yang ditandatangani sejurus beliau mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua.

“Arahan ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan,” kata Hakim Daerah, John Coughenour semasa perbicaraan di Washington.

Coughenour, yang dilantik oleh bekas Presiden Ronald Reagan, turut menyifatkan isu yang dikemukakan dalam kes ini sebagai luar biasa.

“Sepanjang lebih empat dekad saya di mahkamah, saya tidak pernah menemukan kes yang persoalannya sejelas ini,” katanya.

Hak kewarganegaraan kelahiran merupakan asas kepada identiti nasional Amerika, dengan Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS menetapkan sesiapa yang dilahirkan di tanah Amerika adalah warganegara.

Namun, arahan Trump mendakwa terdapat individu yang berada secara haram di AS atau menggunakan visa tidak tertakluk kepada bidang kuasa negara itu dan dikecualikan daripada kategori tersebut.

Keputusan ini diumumkan selepas 22 negeri, dua bandar, dan pelbagai kumpulan hak sivil memfailkan tuntutan undang-undang mencabar arahan tersebut.

Pihak terbabit menegaskan Pindaan Ke-14, yang diratifikasi pada 1868 selepas Perang Saudara, telah menjadi undang-undang yang kukuh selama lebih satu abad.

Kumpulan itu merujuk keputusan Mahkamah Agung AS pada 1898 dalam kes Wong Kim Ark, seorang lelaki keturunan Cina kelahiran San Francisco yang dinafikan kemasukan semula ke AS selepas melawat keluarga di China sehingga memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di AS, termasuk anak kepada pendatang, tidak boleh dinafikan hak kewarganegaraan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN