SYDNEY: Seorang penumpang mabuk terpaksa ditutup mulutnya dengan pita pelekat oleh kakitangan pesawat Fiji Airways setelah dia bertindak kasar dan mengganggu kru pesawat, awal bulan ini.
Penumpang wanita asal Australia, Stephanie Banks, 69, menjadi agresif dan tidak dapat ditenangkan, sehingga menyebabkan tindakan tegas terpaksa diambil oleh kakitangan penerbangan.
Menerusi sebuah video tular dalam media sosial, Banks dilihat menjerit kepada kru penerbangan ketika mereka cuba menenangkannya dan memberitahu seorang pramugari dia telah ‘dianiaya’ dan mendakwa ‘ini adalah jenayah’.
Ketika pramugari itu duduk untuk menenangkan situasi, Banks memanggilnya dengan kata-kata kesat yang bersifat perkauman.
Dalam video kedua, dua pramugari dilihat menutup mulut Banks dengan pita pelekat.
Menurut laporan FBC News dan News.com.au, Banks dikenakan denda sebanyak 176 pound (RM 958) di mahkamah Fiji susulan insiden tersebut.
Seorang saksi yang berada dalam pesawat berkata, Banks sedang dalam perjalanan bersama suaminya, namun mereka tidak duduk bersama.
Insiden itu berlaku dalam penerbangan FJ871, yang berlepas dari San Francisco ke Nadi, Fiji, pada 19 Januari lalu. -AGENSI