Lelaki tembak tujuh anggota polis di Texas - Utusan Malaysia

Lelaki tembak tujuh anggota polis di Texas

polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON : Seorang lelaki di Texas, Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan terhadap tujuh anggota polis dalam satu kejadian di sebuah apartmen sebelum ditemukan mati oleh pasukan SWAT, menurut pihak berkuasa.

Ketua Polis San Antonio, William McManus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai cubaan bunuh diri di sebuah kompleks apartmen di utara bandar tersebut, lewat semalam.

“Anggota polis pertama yang tiba di lokasi telah ditembak, diikuti enam lagi yang cedera selepas itu,” kata McManus menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudian bertindak menghadang dirinya di dalam apartmen tersebut selama beberapa jam.

“Di penghujung insiden, suspek ditemukan telah meninggal dunia,” ujar McManus, sambil menjelaskan belum dapat dipastikan sama ada suspek membunuh diri atau terkena tembakan pasukan SWAT.

Empat anggota polis yang cedera dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala keadaan tiga lagi anggota yang cedera belum diketahui.

Kejadian tembakan seumpama ini semakin membimbangkan di Amerika Syarikat, yang mempunyai bilangan senjata api melebihi jumlah penduduknya.

Sejak 1 Januari lalu, sekurang-kurangnya 16 kejadian tembakan beramai-ramai, yang didefinisikan sebagai insiden membabitkan sekurang-kurangnya empat mangsa, sama ada maut atau cedera telah dilaporkan di seluruh negara, menurut laporan Gun Violence Archive. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya