SUNGAI PETANI: Seorang lelaki melecur di kaki dan tangan dalam kebakaran membabitkan 13 buah rumah di Kampung Keda, Tanjung Dawai di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, mangsa berusia 30-an itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.28 pagi dan jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba pada pukul 7.54 pagi dengan jarak ke lokasi sejauh 19.8 kilometer.
“Operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Guar Chempedak dan Sungai Petani selain kehadiran anggota dari Balai Bomba Sukarela berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan 13 rumah kelas A dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.
Tindakan pemadaman menggunakan enam aliran 10 pancutan dilakukan dan setakat ini, Pos Kawalan Bomba (PKB) Tanjung Dawai telah diaktifkan dan operasi di lokasi kini di peringkat overhaul bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kemusnahan masih dalam siasatan. – UTUSAN