LONDON: Leicester City menamatkan kemarau tujuh kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur, malam tadi.
Tottenham kini hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 11 perlawanan liga selepas jaringan Jamie Vardy dan Bilal El Khannouss pada awal separuh masa kedua menambah tekanan ke atas pengurus Ange Postecoglou.
Kemenangan kedua Leicester di tempat lawan musim ini membawa mereka keluar dari zon penyingkiran, menduduki tempat ke-17 dengan 17 mata daripada 23 perlawanan.
Tottenham, yang mendahului separuh masa pertama menerusi tandukan Richarlison pada minit ke-33, kekal di tangga ke-15 dengan 24 mata selepas kekalahan keempat berturut-turut dalam liga.
Hujan lebat di langit London Utara mencerminkan suasana suram di Stadium Tottenham, dengan penyokong marah melaungkan ‘Kami mahu Levy keluar’ kepada pengerusi Daniel Levy.
Postecoglou pula berada dalam tekanan hebat apabila pasukannya yang dilanda kecederaan sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan selepas mendahului di separuh masa pertama.
“Ya, ini menyakitkan. Pemain telah memberikan segalanya, tetapi nasib tidak menyebelahi kami hari ini,” kata Postecoglou yang kekurangan ramai pemain utama.
Leicester, di bawah kendalian Ruud van Nistelrooy, menikmati kelegaan selepas mencatat kemenangan liga kedua sejak pengurus baharu itu mengambil alih pada Disember lalu.
“Kemenangan ini besar maknanya, semoga ia menghentikan kemerosotan kami. Pemain telah bertarung selama 90 minit, dan ia kredit kepada pengurus atas apa yang dilakukannya di padang latihan,” kata Vardy. – AGENSI