SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan pihaknya menerima lebih daripada 19 permohonan yang berminat untuk menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN).
Hannah berkata kesemua permohonan yang diterima terdiri daripada calon yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang awam dan mereka bakal melalui proses temuduga yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk K. Nagulendran.
“Ini adalah proses biasa di mana CEO sedia ada telah tamat berkhidmat dan dalam JPA (Jawatan Perkhidmatan Awam) setelah selesai, mereka kena buat penggiliran.
“Jadi ini adalah proses biasa dan seperti yang telah saya maklumkan, kita mendengar pandangan staff-staff ISN dan untuk kita, kita nak pastikan ada kesinambungan perkhidmatan yang diberikan supaya semua persiapan atlet kita untuk temasya sukan tidak terganggu.
“Kita terima banyak permohonan. Saya tidak mempunyai maklumat terbaru tetapi melebihi 19 permohonan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hannah ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan Chery Malaysia kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik 2024 yang menerima tawaran diskaun oleh syarikat pengeluar kereta tersebut.
CEO ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 24 Februari ini selepas menjawat jawatan tersebut pada 25 Februari 2019. – UTUSAN