HANOI: Kerajaan Vietnam mengambil langkah drastik dengan menawarkan ganjaran wang tunai kepada rakyat yang melaporkan kesalahan lalu lintas.
Bermula bulan ini, warga Vietnam yang dapat membuktikan berlakunya pelanggaran peraturan lalu lintas akan menerima 10 peratus daripada jumlah denda yang dikenakan terhadap pesalah.
Menurut laporan Carscoops, langkah itu diambil kerana kekangan pihak berkuasa untuk mengawasi semua kawasan secara serentak.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Vietnam telah menerima banyak laporan daripada orang awam berupa rakaman kamera yang menunjukkan kesalahan jalan raya dan perilaku berbahaya.
Kerajaan yakin inisiatif ini mampu meningkatkan keselamatan di jalan raya secara keseluruhan, di samping pendapatan yang diperoleh daripada denda pesalah pula akan digunakan untuk pelbagai usaha mempertingkatkan sistem lalu lintas negara.
Hasil kutipan denda akan disalurkan bagi pembelian kenderaan dan kelengkapan keselamatan, pengembangan sistem maklumat, penyelenggaraan pangkalan data lalu lintas serta sokongan kepada operasi siasatan dan pengurusan kesesakan jalan raya.
Sebahagian wang denda juga akan digunakan untuk membayar elaun petugas lalu lintas yang bertugas pada waktu malam.
Langkah ini walau bagaimanapun mencetuskan kontroversi kerana ada yang melihat pendekatan tersebut sebagai radikal.
Namun, pihak berkuasa mempertahankan keputusan itu, memandangkan situasi lalu lintas di Vietnam yang semakin membimbangkan.
Pihak polis di negara itu kini berdepan cabaran besar, termasuk pemandu yang sering memandu laju, melanggar lampu isyarat merah dan memandu melawan arus, sekaligus mengundang kekacauan yang menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Kerajaan berharap usaha melibatkan rakyat dapat menjadi solusi berkesan untuk menangani pelanggaran peraturan dan menjadikan jalan raya lebih teratur.-AGENSI