GEORGE TOWN : Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan bersama empat kru warga Myanmar berhampiran perairan Pulau Kendi, kelmarin kerana didapati melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, penahanan itu dibuat di kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai iaitu pada kedudukan 13.8 batu nautika ke selatan pulau tersebut.
“Vesel ini ditahan kerana didapati melanggar syarat lesen apabila melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Keempat-empat kru warga Myanmar yang berusia antara 23 hingga 42 tahun juga gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, Maritim Malaysia komited untuk membanteras aktiviti jenayah di laut dan pelanggaran syarat perikanan.
“Kami menyeru komuniti nelayan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan.
“Pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan demi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan bebas daripada jenayah,” kata beliau.
Untuk rekod, empat vesel telah ditahan bersama 12 kru warga asing dalam tempoh seminggu iaitu sejak 16 Januari lalu di sekitar kawasan perairan Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN