SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memulakan analisis perakam data penerbangan (FDR) pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, 29 Disember lalu.
Pasukan penyiasat bersama kedua-dua negara turut mempercepatkan siasatan terhadap komponen-komponen utama daripada serpihan pesawat termasuk enjin dan sayap utama di lokasi kejadian, kata seorang pegawai tertinggi kerajaan.
Agensi Berita Yonhap melaporkan Menteri Dalam Negeri sementara, Ko Ki Dong mengeluarkan kenyataan itu pada mesyuarat Pusat Tindakan Bencana dan Keselamatan Negara.
Beliau berjanji untuk menjalankan siasatan dengan adil dan mengikut piawaian antarabangsa serta undang-undang yang berkaitan.
“Siasatan ini akan dijalankan oleh pakar tempatan dan antarabangsa. Proses serta hasilnya akan didedahkan,” kata Ki Dong.
Kedua-dua negara menubuhkan pasukan penyiasat bersama yang terdiri daripada 23 anggota, termasuk pakar-pakar dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) AS untuk menyiasat punca nahas berkenaan.
Awal minggu ini, FDR pesawat telah dihantar ke AS untuk dianalisis. -AGENSI