JAKARTA: Bekas bintang Belanda dan Barcelona, Patrick Kluivert memasang impian untuk membawa pasukan bola sepak Indonesia ke pentas Piala Dunia buat julung kalinya sejak kemerdekaan mereka selepas dilantik secara rasmi sebagai pengendali skuad Garuda itu, hari ini.
Kluivert, 48, akan mengemudi pasukan Asia Tenggara itu yang majoriti dibarisi pemain kelahiran Belanda dan naturalisasi.
“Semua orang tahu kami akan bermain empat perlawanan, empat final dan kami mahu mencapai apa yang diinginkan.
“Apa yang paling penting adalah untuk mendapatkan keputusan dan impaknya,” kata Kluivert dalam satu sidang media di Jakarta.
Kluivert menandatangani kontrak selama dua tahun bermula 2025 hingga 2027 dengan pilihan dua tahun lanjutan, menurut Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Bekas penyerang Belanda itu dikaitkan secara meluas dengan peranan berkenaan selepas Indonesia secara kontroversi memecat jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong, baru-baru ini.
Untuk rekod, Indonesia hanya sekali pernah berada di pentas Piala Dunia iaitu pada 1938 – yang pada ketika itu masih di bawah pemerintahan kolonial Belanda. – AFP