KUANTAN: Tanpa khidmat penyerang, Kpah Shernan, Sri Pahang FC sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Perlawanan yang tertangguh 30 minit sebelum sepak mula akibat keadaan padang ditakungi air, kedua dua pasukan bermula agak perlahan dan lebih berhati hati.
Hantaran bola yang sering tersekat banyak menganggu rentak perlawanan tetapi Sri Pahang hampir mendapatkan gol awal perlawanan melalui gerakan yang dicipta Manuel Hadilgo.
Peluang terbaik hadir pada minit ke 10 selepas pemain yang sudah lima musim dalam saingan liga Super itu melakukan hantaran lintang tetapi tandukan Mykola Ahapov hanya sedikit tersasar dari pintu gol lawan.
Anak buah Fandi Ahmad dilihat banyak menguasai padang dengan statistik 57 peratus berbanding hanya 43 untuk pelawat, tetapi barisan hadapan seperti Sean Savaraj , Alexsender Cvetkovic atau Ahapov gagal menewaskan penjaga gol Lawan, Muhammad Hafizul Hakim.
Syazwan Andik juga mendapat dua kesempatan terbaik untuk menjaringkan gol, tetapi kerja keras Hafizul mengawal pintu golnya dari dibolosi wajar di beri pujian.
Tanpa Sherman selaku penyerang utama, skuad kendalian Fandi melepaskan tidak kurang enam peluang yang boleh menghasilkan gol.
Biarpun menguasai perlawanan, tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-45 menerusi tandukan Kenny Pallraj.
Tersentak dengan gol itu, Fandi menukar taktikal dengan membawa masuk David Rawley, Stefano
Brundo dan Baqiudin Syamsudin pada separuh mada kedua untuk memburu gol.
Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila Brundo berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain KL City di dalam kotak penalti.
Selepas itu, kedua-dua pasukan seling berbalas serangan untuk mencari gol kemenangan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – UTUSAN