KUALA LUMPUR: Satu demi satu wakil negara tersingkir, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi beregu campuran ketiga Malaysia tewas seawal pusingan pertama selepas akur kepada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Pasangan ke-19 dunia itu tumpas kepada beregu Jepun yang berada di tangga No. 14 dunia 20-22, 10-21 dalam masa 37 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Midorikawa-Saito semakin melebarkan rekod kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing kepada 3-0.
“Pada set pertama itu bagi kami itu satu kerugian yang besar kerana kami tidak memanfaatkan peluang menyebabkan lawan berjaya mengaut mata berharga dan menang mudah dalam pada perlawanan itu,” kata Pei Jing.
Kian Meng-Pei Jing yang menyuarakan hasrat untuk bersara, mungkin akan melakukan penampilan terakhir pada All England, Mac ini bergantung kepada keputusan sama ada mereka masih mampu mendapatkan penajaan.
Jika perancangan tersebut menjadi kenyataan, ini bermakna Terbuka Malaysia merupakan kejohanan terakhir buat gandingan veteran itu di laman sendiri.
Selain Kian Meng-Pei Jing, gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut terkandas di peringkat 32 terbaik. – UTUSAN