BERLIN : Seramai dua individu dilaporkan maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan bas di lebuh raya A11, timur laut Jerman, semalam.
Menurut laporan agensi berita dpa, insiden tersebut berlaku di laluan keluar lebuh raya berhampiran tempat letak kereta di simpang Prenzlau, kira-kira 110 kilometer dari Berlin.
Bas tersebut dipercayai terbalik dalam keadaan jalan bersalji, namun tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.
Mangsa yang terkorban adalah seorang wanita berusia 29 tahun dan lelaki berusia 48 tahun.
Selain itu, tujuh individu turut mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap polis negeri Brandenburg, Beate Kardels berkata, bas itu dikendalikan oleh syarikat pengangkutan terkenal, Flixbus yang menyediakan perkhidmatan bas jarak jauh di seluruh Jerman.
“Bas tersebut dalam perjalanan dari Berlin ke bandar Szczecin di Poland, kira-kira 150 kilometer dari ibu negara, dengan membawa 13 penumpang serta seorang pemandu,” katanya.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Syarikat Flixbus melahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu dan memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
Tragedi itu sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca buruk, khususnya semasa musim sejuk. –AGENSI