KARTALKAYA: Kebakaran di Hotel Grand Kartal yang terletak di kawasan peranginan ski di pergunungan Bolu, Turkiye, mengorbankan 76 nyawa dan mencederakan 51 orang, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya.
Kebakaran yang dipercayai bermula sekitar pukul 3.30 pagi waktu tempatan di bahagian restoran bangunan 12 tingkat tersebut, menyebabkan tetamu hotel bertempiaran menyelamatkan diri, termasuk melompat dari tingkap bilik mereka.
Beberapa jentera bomba dan ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan memberikan bantuan kepada mangsa.
Kelihatan kain cadar yang diikat bersama tergantung dari tingkap tingkat atas, dipercayai digunakan oleh mangsa untuk melarikan diri.
Pada waktu kejadian, hotel tersebut dihuni 238 tetamu, kebanyakan daripada mereka bercuti sempena cuti sekolah, kata Yerlikaya.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada waktu tengah hari, tetapi usaha pemadaman masih diteruskan.
“Saya ingin menyampaikan rasa simpati terhadap tragedi ini, yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” ujar beliau sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut Yerlikaya, usaha memadam kebakaran mengambil masa kerana lokasi belakang hotel terletak di lereng bukit, menyebabkan operasi hanya dapat dilakukan dari bahagian hadapan dan sisi bangunan.
Kejadian tragis ini berlaku ketika ramai keluarga dari Istanbul dan Ankara mengunjungi kawasan peranginan ski di Bolu sempena cuti musim sejuk.
Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang memusnahkan hotel yang berstrukturkan kayu itu. -AGENSI