ANKARA: Seramai sembilan individu ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan insiden kebakaran di Hotel Grand Kartal, resort ski Kartalkaya.
Tragedi tersebut menyebabkan tetamu hotel bertindak terjun dari tingkap dalam keadaan panik pada awal pagi.
Turki mengumumkan hari berkabung nasional semalam, susulan kebakaran tragis yang mengorbankan 76 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain di sebuah hotel ski di pergunungan Bolu.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, hadir di salah satu upacara pengebumian lapan mangsa di Bolu dan menyampaikan rasa dukacitanya.
“Seluruh jiwa dan raga kita sedang terluka. Saya berdoa agar keluarga mangsa serta seluruh rakyat diberi kesabaran menghadapi tragedi ini,” katanya.
Menurut pihak kerajaan, jenazah 45 mangsa telah diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala ujian DNA sedang dijalankan untuk mengenal pasti mangsa lain.
Kebakaran tersebut dilaporkan bermula pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan di tingkat restoran hotel 12 tingkat yang menempatkan 238 tetamu berdaftar.
Api dilaporkan menjadi marak dengan cepat, sehingga menyebabkan tetamu terperangkap dalam situasi panik.
Bagaimanapun, pihak hotel menerima kritikan hebat apabila mangsa mendakwa tidak mendengar sebarang loceng amaran kebakaran, selain terpaksa meredah koridor gelap yang dipenuhi asap.
Sementara itu, pihak hotel menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dan melahirkan rasa sedih atas kehilangan nyawa.
Kebakaran itu berlaku pada musim puncak pelancongan musim sejuk, dengan ramai keluarga dari Istanbul dan Ankara memilih Bolu sebagai destinasi percutian.
Tragedi ini sekali lagi mengundang perhatian terhadap aspek keselamatan di kawasan pelancongan di Turkiye. -AGENSI