ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nyata lebih unggul dalam pertemuan ‘pasukan bermasalah gaji’ pada aksi saingan Liga Super hari ini apabila mereka menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN FC) 1-0 di Stadium Darul Aman, petang tadi.
Sang Kenari jelas menguasai permainan dengan lebih banyak mengatur serangan sehingga memperoleh hasil seawal minit ke-16, apabila mereka membuka jaringan menerusi rembatan kaki kanan Fayadh Zulkfli yang gagal diselamatkan penjaga gol KDN FC, Alfaiz Zula’amin.
Pelawat turut memiliki peluang menjaringkan gol pada minit ke-38. Gerakan sayap lincah, Fazrul Amir Md. Zaman melepasi kawalan beberapa pertahanan KDA FC termasuk penjaga gol, Wan Mohamad Syazmin bagaimanapun dipersiakan rakan sepasukan, Syahir Abd. Rashid apabila bola sekadar mengenai tiang.
Pada minit terakhir separuh pertama, KDN FC sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan. Kali ini Fazrul Amir sendiri yang melepaskan peluang apabila bola tolakannya tersasar ke kiri gawang biarpun dia hanya berdepan satu sama satu dengan Wan Mohamad Syazmin.
Melihat deretan serangan gagal membuahkan hasil pada separuh masa pertama, Ketua Jurulatih Interim KDA FC, Victor Andrag memasukkan Ebenezer Assifuah bagi menggantikan Milos Gordic.
Kemasukan Assifuah juga gagal memberi impak segera sebaliknya pada minit ke-54, rembatan pemain gantian KDN FC, Asraff Alifuddin Yasin dari dalam kotak penalti lebih mendatangkan ancaman hingga memaksa Wan Mohamad Syazmin bertungkus lumus menyelamatkan gawang.
Perlawanan berlangsung hambar selepas itu dengan kedua-dua pasukan dilihat gagal mencari ruang untuk melakukan percubaan tepat. Percubaan pemain gantian KDA FC, Fadzrul Danel pada minit ke-84 juga terlalu lemah walaupun dia memiliki ruang selesa untuk melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti.
Pada minit terakhir perlawanan, KDN FC hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Afzal Akbar hanya sedikit tersasar ke kiri pintu gol walaupun penjaga gol KDA FC sudah tertewas dan hanya mampu melihat bola melintasi gawangnya. – UTUSAN