KAHERAH: Sebuah kapal Turkiye berlabuh di El-Arish Mesir, membawa bantuan pertama ke Gaza melalui pelabuhan itu sejak gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa.
“Kami bersedia untuk menyembuhkan luka saudara-saudara kami di Gaza dan membantu memenuhi keperluan perlindungan sementara mereka,” kata Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya di laman X.
Menurut Ali, kapal itu membawa 871 tan bantuan kemanusiaan, termasuk 300 penjana kuasa, 20 tandas mudah alih, 10,460 khemah dan 14,350 selimut.
Pasukan dari Bulan Sabit Merah Mesir menerima bantuan dari Turkiye itu dan mengatur proses penghantarannya ke Semenanjung Gaza.
Sumber di pelabuhan, kira-kira 50 kilometer di barat Semenanjung Gaza dan dua kakitangan dari Bulan Sabit Merah Mesir turut mengesahkan ketibaannya.
Sejak bermulanya gencatan senjata di wilayah Palestin, ratusan trak bantuan sudah memasuki Gaza manakala sebahagiannya diagihkan melalui udara.
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas berlaku selepas lebih 15 bulan perang yang dicetuskan oleh serangan mengejut pada 7 Oktober 2023 dan kini sudah meragut 48,237 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam.-AFP