Kabinet bincang juranggaji antara lelaki, wanita

Kabinet bincang jurang gaji antara lelaki, wanita

NANCY Shukri (kiri) bercakap pada Sesi Bicara Eksekutif: Cabaran Menuju Ke Puncak Kepimpinan di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu jurang gaji antara lelaki dan wanita akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini kerana ia membabitkan hak dan kebajikan setiap pekerja.

Antara sektor yang mempunyai perbezaan ketara gaji antara jantina ini ialah kewangan dan perbankan serta teknologi maklumat.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya mahu perkara itu dibincangkan dengan lebih lanjut untuk mendapatkan sokongan dan pandangan anggota Kabinet lain.

“Kita perlu membawa perkara ini kepada Kementerian Sumber Manusia untuk dibincangkan dengan lebih mendalam kerana ia melibatkan isu berkaitan wanita terutama dari sudut hak, kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Adalah penting bagi kita memastikan isu ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak  yang bertanggungjawab, agar langkah penyelesaian yang tepat dapat diambil.

“Ia bertujuan memastikan isu ini dapat disuarakan kepada pihak Kementerian Sumber Manusia secepat mungkin dan tindakan lebih menyeluruh dapat dirancang dan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada Program Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini semalam.

Berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2023 oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), siswazah wanita di Malaysia pada 2023 secara purata memperoleh gaji bulanan RM3,340, manakala siswazah lelaki memperoleh RM4,240.

Ini bermakna terdapat jurang gaji sebanyak RM900 antara siswazah lelaki dan wanita walaupun mereka memiliki kelayakan akademik yang setara.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, jurang gaji sesama jantina disebabkan diskriminasi dan tanggapan masyarakat yang masih melihat  golongan wanita bukan penanggung utama keluarga.

Katanya, sesetengah majikan mempersoalkan komitmen wanita terhadap pekerjaan kerana tanggungjawab keluarga terutama jika mereka sudah berkahwin atau mempunyai anak.

“Diskriminasi dalam penetapan gaji wanita sering ditawarkan gaji permulaan lebih rendah berbanding lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang setaraf.

“Dalam beberapa kes, jurang gaji ini disebabkan tanggapan wanita memerlukan pendapatan tambahan lebih rendah kerana dianggap bukan penanggung utama keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Effendy berkata, dalam sektor kewangan dan perbankan, wanita sering diberi peranan sokongan seperti sumber manusia dan pentadbiran yang menawarkan gaji lebih rendah berbanding peranan teknikal atau pengurusan.

Malah, dalam peranan yang sama, wanita dilaporkan menerima gaji lebih rendah daripada lelaki.

Selain itu, diskriminasi juga menyebabkan pekerja wanita menghadapi halangan dalam mendapatkan peluang pekerjaan terutama dalam bidang yang dianggap lebih sesuai untuk lelaki seperti sektor kejuruteraan, pembinaan dan teknologi maklumat.

“Dalam sektor perkilangan pula, wanita biasanya dilibatkandalam pekerjaan peringkat rendah atau sederhana yang kurang dihargai daripada segi gaji.

“Lelaki pula lebih cenderung diberi peranan lebih teknikal atau berat yang menawarkan pendapatan lebih tinggi. Jurang ini jelas mencerminkan ketidaksamaan gender yang masih berlaku di pelbagai
industri.

“Jurang gaji dalam sektor pekerjaan bukan sahaja mencerminkan isu gender, tetapi juga persepsi budaya dan dasar yang tidak mesra kepada wanita,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya