BEIJING: Stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh China mencatatkan kemuncak terbesar dalam jumlah perjalanan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, minggu ini.
Berjuta-juta orang pulang ke kampung untuk meraikan cuti perayaan itu bersama keluarga dalam perjalanan tahunan yang dijangka menjadi rekod.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, sepanjang tempoh 40 hari tradisional sebelum, semasa dan selepas cuti, dijangka sekitar sembilan bilion perjalanan penumpang antara wilayah di seluruh China, melibatkan pelbagai bentuk pengangkutan.
Perjalanan untuk perkhidmatan kereta api dan penerbangan dijangka mencapai rekod tertinggi semasa musim perayaan tahun ini.
Kementerian Pengangkutan menjangkakan 510 juta perjalanan kereta api dan 90 juta perjalanan udara sepanjang tempoh itu.
Menurut China Railways, yang menambah ribuan perkhidmatan kereta api untuk memenuhi permintaan, hari Sabtu adalah waktu kemuncak di kebanyakan stesen sebelum cuti.
Jumlah itu menggunakan data daripada penjualan tiket dan senarai menunggu untuk meramal serta mengawal bekalan.
Selain itu, banyak kilang sudah mula ditutup untuk cuti perayaan, dengan pekerja secara tradisinya dibenarkan bercuti lebih awal.- AGENSI