PETALING JAYA: Pemain muda perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, menyambut Tahun Baru Cina musim ini dengan lebih bermakna apabila keluarganya akan menemani beliau di Bangkok semasa kejohanan Thailand Masters 2025 yang bermula sejak semalam.
Pemain No. 53 dunia itu akan memulakan kempen pertamanya tahun ini dengan sokongan ibunya, Ng May Kim, serta abangnya, Anson Hoh, yang akan hadir memberi dorongan sepanjang kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.
Justin dijadual bertemu pemain Indonesia, Moh. Zaki Ubaidillah pada aksi pusingan pertama petang ini sebelum berkemungkinan besar berdepan pemain Singapura, Jason Teh (ranking ke-33 dunia) di pusingan kedua.
Pada awalnya, Justin menjangkakan dirinya akan menyambut Tahun Baru Cina bersendirian di Bangkok kerana mahu memberi fokus penuh kepada kejohanan.
“Saya terkejut dan gembira apabila ibu serta abang saya telah menempah tiket ke Bangkok. Ia benar-benar satu kejutan yang menyenangkan.
“Saya mungkin tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan perayaan kerana sibuk bertanding, tetapi kehadiran mereka akan mengurangkan rasa rindu kepada suasana Tahun Baru Cina,” kata Justin.
Sejak pemergian bapanya, Hoh Kim Leong, pada 2021, ahli keluarganya yang lain terus memberikan sokongan penuh terhadap kerjayanya dalam badminton.
Justin bertekad untuk menyerlah di Bangkok, terutama di bawah bimbingan jurulatih perseorangan kebangsaan yang baharu, Kenneth Jonassen.
“Saya telah berlatih dengan Jonassen selama beberapa minggu, dan saya percaya dengan kaedahnya. Saya yakin dia boleh membawa saya ke tahap seterusnya,” ujarnya.
Beliau turut ditemani oleh penolong jurulatih K. Yogendran sepanjang kejohanan ini. – UTUSAN