Jumlah mangsa rempuhan di India meningkat, 40 maut dipijak

Jumlah mangsa rempuhan di India meningkat, 40 maut dipijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRAYAGRAJ: Hampir 40 mangsa dibawa ke rumah mayat sebuah hospital selepas insiden rempuhan di Festival Maha Kumbh Mela di utara India, semalam.

Rempuhan berlaku ketika puluhan juta penganut Hindu berkumpul untuk upacara mandi di sungai suci dalam festival keagamaan itu.

Menurut sumber polis, mayat mangsa masih berada di rumah mayat Hospital Kolej Perubatan Moti Lal Nehru selepas lebih 12 jam tragedi tersebut.

Pihak kerajaan belum mengumumkan angka rasmi mangsa yang terlibat.

“Lebih banyak mayat terus dibawa masuk. Kami mempunyai hampir 40 mayat dan sedang menyerahkan mangsa kepada keluarga satu persatu,” kata seorang sumber polis.

Sementara itu, Pegawai Kanan Polis, Vaibhav Krishna berkata, pihaknya tidak dapat memberikan angka rasmi kerana masih sibuk mengawal keadaan orang ramai.

Tragedi rempuhan itu berlaku apabila ribuan penganut Hindu berpusu-pusu menuju ke pertemuan tiga sungai suci iaitu Ganga, Yamuna dan Saraswati untuk upacara mandi yang dipercayai dapat menghapus dosa.

Saksi mendakwa berlaku tolakan besar-besaran sehingga menyebabkan jemaah saling bertindih dan terjatuh.

Malah, ada juga yang mengatakan laluan yang ditutup mengakibatkan kesesakan, sehingga menyebabkan jemaah rebah akibat sesak nafas.

“Semuanya menjadi kacau-bilau. Orang ramai mula menolak, menarik dan memanjat antara satu sama lain.

“Ibu saya rebah, kemudian kakak ipar saya. Orang ramai melangkah dan berlari di atas mereka,” kata Jagwanti Devi, 40, yang duduk di dalam ambulans bersama mayat keluarganya.

Seorang pegawai di Hospital SRN Prayagraj pula berkata, kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung atau mempunyai penyakit kronik seperti diabetes.

“Mangsa yang cedera mengalami patah tulang dan kecederaan serius. Ada yang rebah di tempat kejadian dan dibawa ke hospital dalam keadaan sudah meninggal dunia,” katanya yang enggan dikenali.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang membantu mangsa dengan segala cara.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, pula berkata, rempuhan itu berpunca daripada tindakan segelintir penganut Hindu yang cuba melompat sekatan kawalan orang ramai antara pukul 1 hingga 2 pagi di kawasan arena sami.

Festival Maha Kumbh Mela, yang dianggap perhimpunan manusia terbesar di dunia, dijangka menarik sekitar 400 juta pengunjung sepanjang enam minggu berlangsung.

Sehingga Selasa lalu, hampir 200 juta orang menghadirinya sejak ia bermula dua minggu lalu, dengan lebih 50 juta telah mandi suci sehingga pukul 2 petang, semalam.

Sebelum ini, rempuhan serupa juga pernah berlaku dalam festival sama pada 2013, mengorbankan sekurang-kurangnya 36 jemaah, kebanyakannya wanita.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya