PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yakin dirinya mampu bangkit untuk menjadi lebih kuat selepas tewas kepada petarung Colombia, Johan Estupinan, kelmarin.
Lebih popular dengan gelaran Jojo, bintang muda negara yang berusia 18 tahun itu tewas menerusi keputusan pengadil selepas tamat tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight ONE 170.
Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, Jojo bertekad untuk bangkit sambil menyifatkan kekalahan yang dialaminya di Impact Arena, Bangkok itu sebagai halangan kecil yang perlu diharunginya.
“Alhamdulillah, (ini) hanya satu halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan bangkit kembali (dalam perlawanan seterusnya).
“Terima kasih kepada semua atas sokongan yang diberikan,” kongsi Jojo menerusi laman Instagramnya, semalam.
Estupinan terus gah dengan rekod tanpa kalah selepas berjaya meraih kemenangan ke atas Jojo, namun Johan tidak memberi laluan mudah kepada lawannya itu dalam usaha memburu kemenangan ketujuhnya dalam ONE Championship.
Keputusan itu menyaksikan Estupinan melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam ONE Championship kepada lima kemenangan selepas menang empat pertarungan sebelum ini termasuk tiga kemenangan menerusi Knock Out (KO).
Jojo pula mengalami kekalahan kedua dalam lapan pertarungan selepas turut tewas di tangan jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada Jun tahun lalu.
Dia bagaimanapun berjaya bangkit tiga bulan selepas itu selepas menumbangkan jaguh Mexico, Josue Cruz menerusi KO pada ONE 168 di Colorado, Amerika Syarikat untuk kemenangan keenamnya.-UTUSAN