Jersi baharu Portugal kini jenama Puma

Jersi baharu Portugal kini jenama Puma

CRISTIANO Ronaldo (tengah) memperagakan jersi baharu keluaran Puma untuk pasukan bola sepak Portugal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak Portugal secara rasmi akan memperagakan jersi jenama Puma merangkumi home dan away bagi skuad lelaki serta wanita.

Pengarah Kanan Pengurusan Prestasi Pakaian Puma Barisan Produk Marco Mueller berkata, syarikatnya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan pasukan Portugal.

“Kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan kit home dan away pertama Puma untuk pasukan bola sepak kebangsaan lelaki dan wanita Portugal.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan salah satu pasukan kebangsaan terbaik di dunia dan membawa bola sepak Portugal ke era baharu dengan kit terbaharu ini,” kata Mueller.

Jelasnya, orang Portugis sering menyebut ‘por amor à camisola’ atau ‘demi cinta kepada jersi’, bermaksud melakukannya dengan semangat, komitmen, dan kasih sayang terhadap tujuan, usaha, atau pasukan.

Semangat inilah, cuba dijelmakan oleh Puma dalam rekaan jersi, dengan dominasi warna merah klasik dan perincian kolar bulat, pakaian seragam itu dibezakan dengan gabungan aksen emas dan hijau untuk pasukan lelaki, dan gabungan aksen hijau, pudina dan hitam untuk pasukan wanita.

Kesemua jersi baharu itu dihiasi dengan motif berulang yang merangkumi siluet Quinas (nama panggilan untuk pasukan bola sepak kebangsaan Portugis, bermaksud perisai) sebagai simbol penyatuan negara Portugis.

Mueller berkata menerusi reka bentuk ini, Puma bukan sahaja meraikan sejarah gemilang bola sepak Portugal, malah turut memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus cemerlang.

Beliau optimis keluaran baharu itu akan memperkayakan sejarah tradisi bola sepak yang berakar umbi dalam masyarakat Portugis.

“Kerjasama ini diilhamkan sepenuhnya oleh semangat, budaya dan sejarah bola sepak Portugis yang luar biasa,” katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran & Komersial Persekutuan Bola Sepak Portugis (FPF) Nuno Moura menjelaskan bahawa setiap benang dan jahitan pada jersi baharu membawa bola sepak Portugis ke era baharu bersama Puma.

“Reka bentuk inovatif ini bukan sahaja meraikan sejarah panjang kami, tetapi juga menyuarakan semangat, kreativiti dan kecemerlangan yang menjadikan pasukan kebangsaan Portugal sebagai salah satu pasukan bola sepak paling ikonik di dunia,” katanya.

Jersi terkini pasukan bola sepak kebangsaan Portugal boleh didapati dalam dua versi, original dan replika.

Jersi original yang dipakai oleh pemain pasukan kebangsaan Portugal diperbuat daripada bahan fabrik ultrawave Puma yang mengurangkan berat dan geseran untuk meningkatkan prestasi.

Sementara itu, replika itu didatangkan dengan reka bentuk yang hampir sama tetapi dengan potongan yang lebih santai, sesuai dipakai ketika menyaksikan perlawanan bola sepak atau hanya untuk pakaian harian.

Kedua-dua versi disokong oleh teknologi penyerap peluh drycell Puma, memastikan pemakainya berasa selesa.

Jersi home dan away baharu itu, boleh didapati di kedai Puma.com, Puma dan Al-Ikhsan dengan harga antara RM319-RM549.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN