Janji Trump tamatkan konflik, Russia-Ukraine masih berperang

Janji Trump tamatkan konflik, Russia-Ukraine masih berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW : Russia dan Ukraine terus melancarkan serangan udara ke atas satu sama lain, walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru mengangkat sumpah jawatan, mendakwa kononnya mampu menamatkan perang dalam masa 24 jam.

Serangan baharu pada malam Selasa, menyaksikan Russia mendakwa berjaya menembak jatuh 55 dron Ukraine, dengan lebih separuh daripadanya dipintas di kawasan sempadan.

Ukraine pula mengesahkan serangannya telah memusnahkan sebuah depot minyak di Liski, wilayah Voronezh, yang terbakar buat kali kedua dalam masa seminggu. 

Kyiv turut menyatakan tenteranya menyerang sebuah kilang penerbangan di Smolensk, Rusia, yang didakwa menghasilkan pesawat tempur, mencetuskan letupan di kawasan tersebut.

Sementara itu, tentera udara Ukraine mendakwa berjaya menembak jatuh 93 daripada 141 dron yang dilancarkan Russia dalam serangan tersebut, manakala dua dron dilaporkan kembali ke Russia.

Dalam perkembangan lain, agensi berita TASS melaporkan tentera Rusia telah menguasai perkampungan Vovkove di wilayah Donetsk, yang terletak kira-kira 10 kilometer barat daya bandar Pokrovsk, salah satu kawasan utama serangan Moscow. 

Isnin lalu, Trump berkata, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bersedia untuk mencapai perjanjian damai, sambil menyuarakan harapan agar Presiden Rusia, Vladimir Putin, turut mengambil langkah sama.

Beliau turut memberi amaran kegagalan Putin membuat perjanjian akan memburukkan lagi ekonomi Russia yang sudah sedia bergelut dengan inflasi tinggi.

Namun begitu, Trump belum mengemukakan butiran pelan damai yang jelas, meskipun pasukannya memberi bayangan beliau mungkin membenarkan Russia mengekalkan kawasan yang telah dirampas, termasuk Crimea dan empat wilayah Ukraine lain.

Penasihat Dasar Luar Kremlin, Yuri Ushakov mengesahkan Russia belum menerima sebarang cadangan spesifik daripada Washington mengenai penyelesaian konflik tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya