MOSCOW: Dokumen yang tersebar dalam media sosial mendakwa bekas wanita pertama Syria, Asma al-Assad adalah pengintip untuk perisikan British, berkemungkinan palsu.
Dokumen pertama, dimuat naik oleh wartawan Syria, Nizar Nayouf di Facebook, didakwa daripada perisikan Syria pada 1992, menyatakan Bashar al-Assad dipantau selepas bertemu Asma dan bekas pegawai MI5, Eliza Manningham-Buller di sebuah hotel di London.
Bashar, yang menjadi presiden pada 2000 selepas kematian bapanya, sedang menjalani latihan sebagai pakar mata di London, ketika itu.
“Berdasarkan arahan untuk mengawasi Bashar semasa pengajiannya di Britain, pegawai mendapati beliau terlibat dalam beberapa aktiviti di luar komitmen belajar dan latihan di hospital dalam beberapa minggu terakhir,” menurut laporan itu.
Laporan itu juga mendakwa, pertemuan kedua dengan Manningham-Buller berlaku di rumah Asma di Acton semasa majlis, yang dikatakan turut dihadiri bekas komander stesen MI6 Moscow, Raymond Asquith.
Dokumen kedua bertarikh 1998 turut mendakwa terdapat kaitan dengan yayasan Oxford Analytica, yang ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), serta menuduh Asma bekerja untuk perisikan British semasa bertugas di JP Morgan.
Kedua-dua dokumen itu dikatakan diperoleh daripada Ketua Perisikan Syria di bawah pemerintahan Hafez al-Assad, Jeneral Ali Issa Douba.
Bagaimanapun, pautan ke hantaran Facebook Nayouf tidak dapat diakses pada petang Rabu.
Namun, seorang individu di platform X menyedari dokumen pertama ditaip menggunakan fon Arab Mono Kawkab, yang didakwa dicipta olehnya pada 2015.
“Kecuali dokumen di sebelah kiri dicetak pada 2015 atau selepasnya untuk meniru rupa mesin taip atas sebab tertentu, ia kemungkinan besar palsu,” tulis Abdullah Arif.
Asma Fawaz Akhras, yang berusia 17 tahun pada waktu pertemuan didakwa berlaku, berkahwin dengan Bashar pada 2000, tidak lama selepas beliau menjadi presiden.- AGENSI