KAHERAH : Tentera Israel meningkatkan serangan di utara Gaza termasuk di kawasan Shejaia, pinggir Bandar Gaza, yang menyaksikan sekurang-kurangnya lapan warga Palestin terkorban, semalam.
Serangan udara tersebut memusnahkan kawasan yang menjadi sasaran, namun tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh tentera Israel mengenai insiden itu atau identiti mangsa yang terkorban.
Sementara itu, di al-Buriej, tengah Gaza, tentera Israel melancarkan serangan terhadap seorang pejuang yang dikatakan beroperasi di kawasan yang menjadi lokasi pelancaran roket ke Israel pada hari sebelumnya.
Jurucakap tentera Israel mengarahkan penduduk untuk berpindah sebelum serangan tersebut.
Menurut agensi berita Palestin, Wafa, dua orang dilaporkan terkorban dalam serangan di al-Buriej, manakala 15 lagi maut dalam serangan udara di Jabalia.
Bagaimanapun, tiada pengesahan segera daripada pegawai kesihatan Gaza.
Tentera Israel mendakwa serangan itu mensasarkan pejuang Hamas.
Kawasan utara Gaza termasuk Beit Hanoun, Jabalia dan Beit Lahiya kini hampir musnah sepenuhnya setelah penduduk dipindahkan.
Terdapat spekulasi yang menyatakan tentera rejim Zionis mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai zon penampan selepas konflik berakhir terus meningkat, namun perkara itu dinafikan oleh pihak Israel.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan lebih 45,500 warga Palestin, menurut pegawai kesihatan di kawasan tersebut yang dikuasai Hamas.
Hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar wilayah itu musnah.-AGENSI