TEL AVIV : Tentera Israel mendakwa berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman semalam, selepas siren amaran berbunyi.
Berdasarkan kenyataan dalam Telegram, tentera Israel memaklumkan peluru berpandu itu dipintas sebelum memasuki wilayahnya berhampiran kawasan Talmei Elazar.
“Susulan bunyi siren di Talmei Elazar, satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman telah berjaya dipintas sebelum melintasi sempadan Israel,” kata kenyataan tersebut.
Jumaat lalu, Israel turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron yang dilancarkan dari Yaman selepas memasuki wilayahnya.
Serangan peluru berpandu dan dron oleh Houthi dari Yaman dilaporkan semakin meningkat sebagai kempen solidariti bersama rakyat Palestin susulan konflik antara Hamas dan Israel di Gaza.
Sejak gencatan senjata pada November lalu antara Israel dan Hezbollah di Lubnan, serangan oleh kumpulan Houthi dilaporkan semakin kerap.
Israel juga melancarkan beberapa siri serangan balas ke atas Yaman termasuk serangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa pada penghujung Disember lalu. -AGENSI