PARIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menolak cadangan Presiden terpilih, Donald Trump untuk merampas Greenland dan menyifatkan rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal.
Blinken malah menegaskan rancangan itu tidak akan berlaku dan tidak perlu membuang masa membincangkannya.
“Saya rasa antara prinsip utama yang kami bawa dalam kerja sepanjang empat tahun lalu, adalah kita lebih kuat dan berkesan apabila bekerjasama dengan sekutu kita, bukan melakukan perkara yang mungkin menjauhkan mereka.
“Idea yang dikemukakan mengenai Greenland jelas bukan idea yang baik dan lebih penting ia tidak akan berlaku, jadi kita mungkin tidak perlu membuang masa membincangkannya,” kata Blinken.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Paris bersama Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, kelmarin.
Selasa lalu, Trump mengulangi keinginannya ‘merampas’ Greenland, sebuah wilayah autonomi Denmark, dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau tersebut, konon demi keselamatan negara AS.
Trump, yang akan memulakan tugas pada 20 Januari, menunjukkan beliau akan melaksana dasar luar yang bebas daripada adat diplomatik dan tidak menolak tindakan ketenteraan atau ekonomi untuk mengembalikan kawalan AS ke Terusan Panama.
Pada 2019, Trump menangguhkan lawatan yang dijadualkan ke Denmark selepas Perdana Menteri, Mette Frederiksen menolak cadangan untuk AS membeli Greenland, yang merupakan tanah jajahan Denmark sehingga 1953 dan kini menjadi wilayah separa berdaulat di bawah kerajaan Denmark.
Greenland, yang merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menerusi keahlian Denmark, mempunyai kepentingan strategik untuk tentera AS dan sistem amaran awal peluru berpandu kerana laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara melalui pulau Artik itu.
AMARAN JERMAN, PERANCIS
Hasrat Trump untuk merampas Greenland dikecam pemimpin dunia dan masyarakat dari wilayah milik Denmark itu.
Jerman dan Perancis memberi amaran kepada Trump berikutan kenyataannya yang tidak menolak penggunaan kekuatan ketenteraan untuk merampas wilayah autonomi Denmark.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menegaskan prinsip gangguan sempadan terpakai kepada setiap negara.
“Tidak kira sama ada negara itu sangat kecil atau kuat, sempadan negara perlu dihormati tanpa mengira saiz atau kuasa negara tersebut,” katanya.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot turut memberi reaksi dengan menegaskan Kesatuan Eropah (EU) tidak akan membenarkan negara lain menyerang sempadan kedaulatannya.
“Jika anda bertanya kepada saya sama ada AS akan menyerang Greenland, jawapan saya adalah tidak.
“Adakah kita memasuki era yang melihat kembalinya prinsip ‘hanya yang kuat bertahan’? Maka, jawapannya adalah ya.
“Oleh itu, adakah kita harus membiarkan diri digeruni dan dibebani dengan kebimbangan? Sudah tentu tidak. Kita perlu bangkit dan membina kekuatan,” kata Barrot.
Denmark, sekutu lama AS, menegaskan Greenland bukan untuk dijual dan ia adalah milik penduduknya.
Jerman dan Perancis adalah dua anggota utama EU, yang sering digambarkan sebagai penggerak utama blok tersebut.
Namun, sukar untuk membayangkan bagaimana EU dapat menghalang sebarang kemungkinan serangan.
Ia tidak memiliki kemampuan pertahanan sendiri dan kebanyakan daripada 27 negara anggotanya adalah sebahagian daripada NATO.- REUTERS/BBC