PETALING JAYA: Lebih 1,500 peminat sukan berbasikal menyertai IJN-KHK Land Ride 4 Your Heart 2025 hari ini dan secara tidak langung menyokong kempen kesihatan jantung serta gaya hidup aktif.
Berlangsung di Bukit Anyara, Semenyih, acara itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dengan acara pelepasan seawal jam 7 pagi disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dianjurkan dengan kerjasama antara Institut Jantung Negara (IJN) dan KHK LAND, acara itu menampilkan tiga kategori kayuhan iaitu sejauh 115 kilometer (km), 60km dan Fun Ride sejauh 18km.
Laluan sejauh 115km mencabar peserta dengan bentuk muka bumi yang sukar melalui Banjaran Titiwangsa, Peres, Kuala Klawang dan Broga manakala laluan 60km memenuhi keperluan peminat berbasikaldan Fun Ride sejauh 18km memberikan pengalaman santai untuk keluarga dan mereka yang mula meminati sukan berbasikal.
Amirudin memberi sokongan padunya terhadap acara IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart sebagai inisiatif menggalakkan kesihatan jantung dan gaya hidup yang lebih sihat.
“Program seperti ini sudah menjadi sebahagian aktiviti lazim bagi rakyat Malaysia terutamanya di Lembah Klang. Sebelum (pandemik) COVID-19, acara larian dan berbasikal adalah antara aktiviti yang sangat digemari masyarakat pada hujung minggu.
“Hari ini, jumlah (peserta) yang menyertai aktiviti seperti ini hampir sama dengan keadaan sebelum COVID-19. Ini menunjukkan masyarakat sudah kembali kepada (kehidupan) seperti sebelum COVID-19,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan acara pelepasan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berharap acara berbasikal seperti IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan terutamanya jantung.
“Dengan hampir 70 peratus kes penyakit jantung tidak didiagnosis awal sehingga terlambat, intervensi awal dan pemeriksaan berkala amat penting. Atlet khususnya tidak boleh mengabaikan pemeriksaan jantung kerana aktiviti fizikal yang intensif boleh menyebabkan perubahan pada jantung yang memerlukan pemantauan profesional,” katanya.-UTUSAN