BEIJING : Malam pertama perkahwinan seorang pengantin wanita dari China bertukar tragedi apabila dia membuat keputusan mahu bercerai hanya kerana campur tangan ibu mentuanya.
Wanita itu meluahkan kekecewaan melalui hantaran dalam media sosial, menceritakan detik ketika ibu mentuanya tiba-tiba menyerbu bilik pengantin pada malam pernikahan.
Menurut wanita itu, suasana romantis bersama suaminya terganggu apabila ibu mentuanya masuk ke bilik dan mengumumkan ’empat peraturan rumah’ yang wajib dipatuhi oleh menantu baharu.
Antara peraturan itu termasuk pembahagian harta bersama, syarat memasak, laporan harian dan kebersihan rumah.
Ibu mentuanya mewajibkan makanan perlu dimasak mengikut selera anaknya.
Wanita itu juga dipaksa untuk tidak menyediakan makanan yang sama setiap hari.
Selain itu, wanita itu perlu menghubungi dan melaporkan kepada ibu mentuanya keadaan mereka setiap hari.
Dia juga perlu melaporkan apa yang dilakukan di rumah kepada ibu mentuanya.
Peraturan keempat pula rumah perlu sentiasa bersih kerana ibu mentuanya akan datang melakukan pemeriksaan secara berkala.
Disebabkan itu, wanita tersebut berasa dirinya diperlakukan seperti pembantu rumah dan bukan sebagai isteri yang sah.
Tidak tahan dengan tekanan, wanita itu akhirnya menanggalkan cincin perkahwinan dan menyatakan hasrat untuk bercerai pada malam yang sama.
Dia turut meluahkan perbezaan besar antara nilai keluarganya dan keluarga suaminya yang membuatkan perkahwinan itu sukar diteruskan.
Kejadian itu menjadi peringatan tentang pentingnya komunikasi dan batasan dalam hubungan perkahwinan, terutamanya melibatkan keluarga mentua. -AGENSI