KAHERAH : Pasukan perubatan dan hospital di Mesir sedang membuat persiapan untuk merawat warga Palestin yang cedera dari Gaza sebaik sahaja sempadan dibuka semula dalam beberapa hari akan datang.
Sekurang-kurangnya 15 ambulans dilihat berbaris dan menunggu di sebelah Mesir di lintasan sempadan Rafah pada Selasa.
Gabenor wilayah Sinai Utara, Khaled Megawer berkata, jika jumlah pesakit yang menyeberangi sempadan terlalu ramai apabila ia dibuka semula, mereka akan dipindahkan ke hospital di Kaherah atau bahagian lain di Mesir.
Sebelum lintasan Rafah ditawan oleh tentera Israel dan ditutup sebagai sebahagian daripada sekatan Israel ke atas Gaza, kira-kira 800 pesakit Palestin dari wilayah itu sedang menerima rawatan di hospital-hospital Mesir di Sinai Utara.
Penyelaras kecemasan di Rafah bagi Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Ahmed Abdullah berkata, khemah, produk kebersihan dan ubat-ubatan sedang dihantar ke Gaza untuk membantu penduduk. -AGENSI