Haiti diancam kumpulan penjenayah, PBB seru bantuan segera

Haiti diancam kumpulan penjenayah, PBB seru bantuan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran ibu kota Haiti, Port-au-Prince berisiko dikuasai kumpulan penjenayah jika masyarakat antarabangsa tidak segera meningkatkan sokongan kepada misi keselamatan yang disokong PBB di negara Caribbean itu.

Menurut laporan Guterres, misi keselamatan yang diketuai Kenya itu memerlukan lebih banyak dana, peralatan dan anggota bagi mengukuhkan operasi.

Sebarang kelewatan tambahan, katanya, berisiko menyebabkan institusi keselamatan Haiti runtuh sepenuhnya, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan penjenayah untuk menguasai keseluruhan kawasan metropolitan Port-au-Prince.

“Misi ini belum beroperasi dengan kapasiti penuh, yang mengehadkan keupayaan mereka untuk menyokong pasukan polis negara,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa terkejut terhadap keganasan yang terus berleluasa, menggambarkan keadaan itu sebagai kezaliman luar biasa yang dilakukan kumpulan bersenjata terhadap masyarakat.

Majlis Keselamatan PBB pada Oktober 2023 telah meluluskan misi sokongan keselamatan multinasional untuk membantu pihak berkuasa Haiti memerangi keganasan kumpulan penjenayah.

Namun, sehingga kini, hanya sekitar 800 daripada 2,500 pegawai polis yang dirancang berjaya dihantar.

Menurut statistik PBB, keganasan kumpulan penjenayah di Haiti telah meragut sekurang-kurangnya 5,601 nyawa tahun lalu, meningkat kira-kira 1,000 kes berbanding 2023.

Terdapat lebih sejuta rakyat Haiti terpaksa meninggalkan kediaman mereka, iaitu tiga kali ganda lebih banyak dari tahun sebelumnya.

Guterres juga menegaskan kegagalan dalam proses politik Haiti menyumbang kepada keadaan tidak stabil ini, sekali gus membolehkan jenayah sedemikian berlaku.

Haiti kini berada dalam situasi kritikal tanpa Presiden atau Parlimen, dengan pentadbiran sementara bergelut menangani keganasan ekstrem yang didalangi kumpulan penjenayah, kemiskinan melampau dan pelbagai cabaran lain. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya