HALMAHERA BARAT: Gunung Ibu yang terletak di Halmahera Barat, Maluku Utara, dilaporkan meletus hari ini dengan menyemburkan abu dan lava pijar, sekali gus mencetuskan amaran kepada penduduk setempat.
Menurut Pos Pemerhatian Gunung Berapi (PGA) Ibu, letusan berlaku sekitar pukul 6.18 pagi waktu tempatan dengan kolum abu setinggi 1,200 meter di atas puncak gunung atau bersamaan 2,525 meter dari aras laut.
Kolum abu berwarna kelabu dengan intensiti tebal dilaporkan menuju ke arah barat, selain letusan itu juga dikesan melalui alat seismogram dengan amplitud maksimum 28 milimeter dan tempoh selama satu minit 51 saat.
“Kami turut mengesan lontaran lava pijar dan sinar api setinggi kira-kira 300 meter,” kata Ketua Pos PGA Ibu, Axl Roeroe.
Gunung Ibu yang mempunyai ketinggian 1,325 meter dari aras laut kini berada pada status Awas (Tahap IV), tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi Indonesia.
Penduduk tempatan dan pelancong dilarang mendekati kawasan dalam radius 4.5 kilometer dari kawah dan perlu menjauhkan diri enam kilometer ke arah bukaan kawah di bahagian utara.
Penduduk yang berada di kawasan terjejas juga dinasihatkan memakai pelindung hidung, mulut dan mata ketika hujan abu berlaku.
Selain itu, pihak berkuasa mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat palsu dan memastikan suasana kekal kondusif.
“Kami menyeru semua pihak mematuhi arahan pemerintah daerah dan terus mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berwajib,” tambah Axl.
Letusan Gunung Ibu ini sekali lagi mengingatkan penduduk akan pentingnya kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman bencana alam. –AGENSI