KUALA LUMPUR: “Terima kasih kerana sudi datang, maaf kami tewas dan jangan serik sokong kami.”
Itu kata-kata yang diluahkan Pearly Tan-M. Thinaah selepas mereka tewas mengejut di tangan beregu baharu digandingkan dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-19, 14-21, 13-21 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Kegagalan itu menyaksikan beregu No. 6 dunia itu mengulangi keputusan tahun lalu serta 2023 apabila terkandas seawal pusingan pertama.
Pearly berkata, kekalahan kepada beregu Indonesia itu berpunca daripada corak permainan yang sukar untuk diramal.
“Permainan mereka sangat sukar untuk dibaca, mereka pasangan baharu, saya rasa ini punca kekalahan kami,” kata Pearly kepada pemberita kepada pemberita selepas perlawanan berakhir, hari ini.
Tersingkir awal pada Terbuka Malaysia, fokus beregu wanita No. 1 Malaysia itu kini beralih kepada Terbuka India yang bermula minggu depan.
Kegagalan Pearly-Thinaah untuk mengatasi gandingan baharu telah menjadikan kebimbangan ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak menjadi kenyataan.
Rosman sebelum ini berkata, kehadiran beberapa beregu yang dipecah ganding bakal menghadirkan masalah kerana ketiadaan data boleh menjadi punca permainan mereka sukar untuk dianalisis.
Sementara itu, nasib yang sama mengiringi satu lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing apabila tewas kepada pasangan yang juga baharu digandingkan, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China 17-21, 10-21.
Yi Fan sebelum ini berpasangan dengan Chen Qing Chen yang telahpun mengumumkan persaraannya selepas mereka memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Shu Xian pula yang sebelum ini bergandingan dengan Zheng Yu merupakan beregu No. 8 dunia. – UTUSAN